BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 28, 2008

Rebah ketika bermain badminton

BENTONG 28 Nov. - Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas.

Seorang saksi, Azmi Arifin, 46, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, Allahyarham yang beria-ia hendak bermain badminton dengan kakitangan Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, dekat sini.

"Datuk yang beria-ia hendak main badminton, semasa kami sedang bermain, Allahyarham nampak sihat dan cergas, tak pula menunjukkan tanda-tanda yang beliau dalam kesakitan," katanya ketika ditemui di Hospital Bentong di sini hari ini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di institut tersebut ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang tadi.

more..

Allahyarham berada di institut tersebut kerana menghadiri Konvensyen Nasional ke-8 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Bagaimanapun, Azmi yang bertugas sebagai pembantu am di IAB memberitahu, Razali tidak banyak bercakap ketika sedang bermain dan apabila permainan berlanjutan sehingga ke set kedua, Allahyarham semakin menjadi pendiam.

"Kami bermain badminton secara beregu, saya dan rakan bermain menentang datuk dan pasangannya.

"Masa tengah main dalam set kedua ketika kedudukan mata 9-11, datuk yang cuba mengambil bola kelihatan tercungap-cungap dan jatuh terlentang.

"Semasa arwah jatuh terlentang, Allahyarham sempat menyebut kalimah Allahuakbar, kami yang berada di situ agak panik dan bergegas telefon ambulans serta polis untuk mendapatkan bantuan," jelasnya lagi.

Azmi berkata, kira-kira 15 orang berada di gelanggang yang menyaksikan kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan IAB, Ebaris Abu Bakti yang berpasangan dengan Razali berkata, permainan terhenti ketika mereka mendahului lawan pada kedudukan mata 11-9.

"Arwah cuba ambil bola tetapi beliau tiba-tiba tercungap-cungap sebelum jatuh terlentang," katanya.

Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abu Karim pula memberitahu, dia sempat menyaksikan Allahyarham jatuh terlentang serta belakang kepalanya terhentak di lantai dan mengakibatkan luka sepanjang dua inci.

Dalam pada itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba di hospital tersebut kira-kira pukul 9.50 malam.

www.utusan.com.my

AL-Fatihah....

0 comments: